Pengacara dan penyanyi Hunny Madu akui cabar dirinya untuk menceburi bidang kosmetik dengan mengeluarkan produk gincu, Madu Cosmetic.

Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 33, berkata impian untuk mengeluarkan produk kosmetik jenamanya sendiri bermula sejak lima tahun lalu.

"Sebenarnya sudah lebih lima tahun saya memasang impian untuk mengeluarkan jenama kosmetik.

"Tambahan pula ramai yang memberi sokongan kepada saya untuk menghasilkan jenama gincu sendiri kerana mereka tahu saya suka bersolek.

"Cuma sebelum ini saya tidak cukup matang, kurang pengalaman dan tiada pendidikan dalam perniagaan, jadi banyak perkara yang saya kena belajar sedikit demi sedikit.

"Pada penghujung tahun lepas, saya dapat rasakan bahawa inilah masa yang terbaik untuk saya menjalankan perniagaan impian saya itu.

"Lagipun kini saya sudah tidak bekerja sebagai penyampai radio dan tidak terikat, jadi saya mempunyai banyak masa untuk merealisasikannya," katanya kepada Astro Gempak

Selain gincu, penyanyi lagu Go Hard itu memberitahu dia turut memasang niat untuk mengeluarkan beberapa rangkaian produk kosmetik lain sepertu bedak dan pembayang mata kelak.

“Madu Cosmetics sudah pun dijual secara dalam talian sejak Disember tahun lalu. Sehingga hari ini, sambutan yang kami terima sangat baik walaupun kami belum membuat promosi secara besar-besaran.

“Selepas ini saya akan secara perlahan-lahan mempromosi dan mengukuhkan jenama ini. Bagi saya dalam perniagaan kosmetik, kita tidak boleh terburu-buru kerana kualiti dan khidmat pelanggan itu yang sangat penting.

“Buat masa ini saya hanya mengeluarkan gincu dahulu. Perancangannya saya ingin mengeluarkan rangkaian alat solekan lain seperti bedak, pembayang mata dan sebagainya, cuma apabila berkaitan kulit, kita perlu telus dengan bahan-bahannya.

“Saya tidak mahu menghasilkan kosmetik yang bercampur dengan bahan-bahan yang membahayakan kulit. Jadi saya masih menjadikan kajian secara mendalam sebelum menghasil dan mengeluarkan pelbagai jenis produk," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal