Kumpulan nasyid Mirwana mengakui mereka 'pecah kepala' untuk mengerah idea untuk setiap persembahan di program Gema Gegar Vaganza (GGV).

Selalu hadir dengan idea kreatif, persembahan Mirwana di minggu keempat menyampaikan lagu Raikan Cinta melayakkan mereka merangkul Anugerah Gema Terindah.

"Setiap minggu, kami berenam mengerah idea memikirkan konsep persembahan yang mahu dibawakan.

"Sebolehnya, kami enggan setiap persembahan kelihatan sama. Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza dan menarik setiap minggu.

"Apa yang penting, persembahan yang kami bawakan menyentuh dan sampai ke hati penonton. Kadang-kadang, rasa macam nak pecah kepala pun ada memikirkan idea," seloroh Naim mewakili Mirwana.

Turut dianggotai oleh Akmal, Hafiz, Ikram, Along dan Faiz, Mirwana membuang rasa takut untuk mengekang kreativiti.

"Kami membuang rasa takut dan ragu-ragu untuk memberikan satu persembahan terbaik di atas pentas. Seperti contoh, kami semua tidak pernah menari.

"Untuk persembahan Raikan Cinta, kami buang rasa takut untuk mencuba kerana mahu memberikan kelainan dan akhirnya kami memenangi Anugerah Gema Terindah kategori karya kreatif," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal