Pelakon Ruhainies akui hubungannya dengan Azrel Ismail hanyalah sebagai seorang kawan dan tidak mempunyai hubungan istemewa.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Ferehah Zainul Ilyas, 25, berkata, gosip hubungan cinta antara mereka semakin hangat diperkatakan kerana sering dilihat berlakon bersama dalam drama.

"Saya dan Azrel adalah kawan sahaja, jika kami bercinta saya akan beritahu kepada semua tapi buat masa sekarang kami tidak ada apa-apa hubungan istemewa.

"Sukar bagi saya untuk menerimanya sebagai pasangan kekasih memandangkan Azrel hanya berada dalam friend zone atau kelompok teman rapat saya sahaja.

"Secara peribadi Azrel merupakan seorang sangat baik, jadi bagi saya dia layak untuk dapat wanita yang lebih baik.

"Buat masa sekarang biarlah saya fokus dahulu kepada kerjaya kerana saya masih baru lagi dalam industri," katanya kepada Astro Gempak.

Ruhainies berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara syarikat produk kecantikan dan kesihatan Cantik Dara Sdn Bhd dengan Spektra Selasih Sdn Bhd.

Produk Cantik Dara yang diasaskan Nurrul Sayang Rahmat akan menaja promosi filem Jibam terbitan Spektra Selasih yang dijangka menemui penonton sekitar September depan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi