Penyanyi Izam EYE menerima keputusan juri yang menyingkirkannya di minggu ketiga konsert Gema Gegar Vaganza (GGV) dengan hati terbuka.

"Saya sudah buat sehabis baik. Sudah rezeki saya bertahan di minggu ketiga, saya terima ketentuan ini.

"Saya boleh beri 1000 alasan mengapa saya tidak layak tersingkir kalau saya mahu, tetapi akhirnya gerak hati juri pun datangnya dari Allah. Jadi saya menerimanya dengan hati terbuka, bukan rezeki saya," kata Izam kepada Astro Gempak.

Mengakui dirinya menyimpan impian untuk menjuarai GGV, Izam mahu menyemarakkan kembali persada muzik tanah air.

"Apabila memasuki sesebuah pertandingan, siapa yang tak nak menang? Tetapi sudah menjadi adat pertandingan, ada menang, ada yang kalah.

"Apa yang penting, selepas ini saya akan meneruskan usaha saya bersama kumpulan EYE untuk merancakkan kembali perjalanan kami dalam industri muzik," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal