Pelakon popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo tampil membuka mulut berhubung kontroversi mengenai tindakannya menepis tangan seorang peminat yang ingin bergambar dengannya.

Menerusi sebuah entri di Instagram miliknya, pelakon yang popular menerusi Ada Apa Dengan Cinta, memberitahu hal itu berlaku tanpa disengajakan apabila dirinya dihampiri dari arah belakang, sebelum tubuhnya dipegang peminat itu.

"Sejujurnya hal itu datang tanpa disengajakan kerana ada seseorang peminat datang dari belakang dan tiba-tiba dia memegang badan saya.

"Disebabkan perkara itu, saya terkejut dan secara tidak sengaja saya menepis serta menghindarinya.

"Saya bukan bermaksud tidak ramah atau sopan dengan peminat kerana itu bukan sikap saya yang sebenar.

"Memang video tersebut kemudiannya saya padam agar tidak menimbulkan kesan yang tidak sesuai mengenai apa yang sebenarnya terjadi," kata Dian.

Tambah Dian, dia kesal dengan kejadian yang terjadi itu dan menerima kencaman daripada peminat dengan hati yang terbuka.