Pengarah popular, Mamat Khalid mengakui meminta pandangan daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum menghasilkan filem terbarunya, Lebuhraya Ke Neraka.

Mamat berkata, tujuan dia merujuk skrip filem tersebut kepada Mufti kerana tidak mahu berlaku sebarang masalah selepas ia ditayangkan kelak.

"Memang saya ada bertemu dan berbincang bincang dengan Mufti negeri Perak untuk merujuk skrip filem ini.

"Lagipun tidak salah saya merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang lebih arif kerana saya tidak mahu memandai-mandai apatah lagi filem ini bergenre ketuhanan dan dakwah," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Mamat, dia berpuas hati dapat menghasilkan filem bergenre ketuhanan yang menjadi impiannya sejak sekian lama.

Menurutnya lagi, dia sudah menunggu lama untuk menghasilkan filem serius dan lari dari genre komedi yang biasa dihasilkan sebelum ini.

"Saya tidak menyesal filem ini mengambil masa enam tahun untuk ditayangkan kerana merasakan sekaranglah waktu yang paling sesuai Lebuhraya Ke Neraka menemui penonton di luar sana.

"Saya melihat penonton sekarang lebih matang dan terbuka menilai sesebuah filem.

"Saya harap filem ini akan mendapat sambutan dan memberi kesedaran kepada penonton nanti," katanya.

Dalam pada itu, Mamat meluahkan rasa lega apabila filem terbarunya itu bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama yang baik daripada LPF. Bagaimanapun, ada dua dialog yang menyentuh sensitiviti agama disenyapkan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem berkenaan di Pavillion, petang Khamis.

Filem terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution itu menampilkan lakonan Awie, Khir Rahman, Dazrin Kamarudin, Shah Jaszle, Miera Leyana dan Fatin Syahirah.

Ia mula ditayangkan di seluruh negara mulai 4 Mei ini.