Biarpun tersingkir di minggu kedua, penyanyi Bienda bersyukur kerana program Gema Gegar Vaganza (GGV) memperkenalkan semula bakatnya sebagai seorang penyanyi.

Tambah Bienda, platform GGV menjadi tempat untuk dirinya menarik peminat baru setelah sekian lama tidak muncul dengan single terbaru.

"Saya mula melibatkan diri dalam dunia hiburan semenjak usianya 12 tahun sebagai penyanyi dalam kumpulan nasyid Solehah. Selepas itu, saya tampil solo menerusi lagu Penantian.

"Selepas lagu Penantian, saya juga melibatkan diri dalam dunia lakonan, pengacaraan serta menjadi seorang penyampai radio. Saya masih menyanyi tetapi ramai orang menganggap saya sudah berhenti menyanyi.

"GGV menjadi platform untuk saya memperkenalkan bakat saya sebagai seorang penyanyi. GGV juga menjadi landasan untuk saya menarik peminat baru. Walaupun rezeki saya di GGV tertulis sehingga ke minggu kedua sahaja, saya kekal positif," kata Bienda kepada Astro Gempak.

Mempunyai perancangan tersendiri selepas tersingkir, Bienda tidak melepaskan peluang untuk muncul dengan single terbaru.

"Saya akan muncul menerusi single Jaga Hati ciptaan DJ Fuzz. Lagu ini sudah dirakamkan tiga bulan lalu dan bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

"Saya berharap lagu ini akan menjadi pengubat rindu peminat yang menantikan buah tangan saya dalam bidang nyanyian," katanya lagi.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal