Sebut sahaja Siti pasti secara automatik yang terlintas difikiran adalah nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Kehebatan vokal dan suara emas Datuk Siti sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Selain Datuk Siti, terdapat lagi tiga Siti yang mewarnai dunia hiburan dengan keunikan suara dan juga bakat lakonan mereka.

Berikut kami senaraikan empat Siti paling popular di Malaysia:

1.Datuk Siti Nurhaliza



Merupakan seorang penyanyi hebat yang paling berpengaruh dalam industri muzik negara. Selain Malaysia, Datuk Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin juga cukup terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini juga telah menempa nama dalam The Malaysia Book Of Records sebagai Artis Malaysia Pertama yang membuat persembahan solo di pentas antarabangsa, Royal Albert Hall, London pada tahun 2005.

2.Siti Sarah Raisuddin



Memulakan kerjaya nyanyian selepas berjaya menjadi peserta akhir Bintang RTM 2001. Pada tahun 2003 ,Sarah berjaya menggondol anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).

Sarah juga merupakan satu-satunya artis baru turut tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Datuk Siti pada tahun tersebut.

Selain itu, isteri kepada pelawak terkenal Shuib Sepahtu ini juga pernah menyertai pertandingan antarabangsa, World Championship of Performance Arts (WCOPA) dan menyumbang tiga pingat emas kepada Malaysia pada tahun 2009.

Dalam pada itu, nama Sarah sekali lagi menjadi sebutan apabila menjadi naib juara untuk program GegarVaganza 3 pada tahun 2016..

3.Siti Nordiana



Siti Nordiana Alias atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini mula menceburi bidang seni suara pada tahun 1999 ketika berusia 15 tahun. Nana juga dilabel sebagai pasangan duo popular bersama arwah penyanyi Achik Spin menerusi lagu Memori Berkasih oleh para peminatnya.

Pada tahun 2015, Nana telah menyertai program GegarrVaganza 2 dan dinobatkan sebagai juara sekaligus mengalahkan peserta lain iaitu Farahdhiya dan Ezad Lazim.

Selain menyanyi, Nana juga tidak tidak ketinggalan mencuba nasib dalam bidang lakonan dan berjaya melonjakkan namanya menerusi drama Dia Semanis Honey bersama Alif Satar.

4.Siti Elizad



Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin memulakan kerjaya seni lakonannya sebagai pelakon kanak-kanak sejak tahun 1994.

Ketika berusia 14 tahun, beliau pernah menyertai pertandingan Asia Bagus di Singapura pada tahun 1998 dan menghadiri uji bakat rancangan One In A Million musim ketiga pada tahun 2008.

Elizad membintangi filem sulungnya berjudul Berlari ke Langit arahan Bade Hj. Azmi pada tahun 2004. Filem tersebut juga dibintangi oleh Rosyam Nor, Fasha Sandha dan Hasnul Rahmat.

Tidak cukup dengan berlakon, Elizad, 32, mula mengembangkan sayapnya
dengan mencuba nasib dalam bidang nyanyian apabila menyertai program realiti Gempak Superstar pada tahun 2016.

Ternyata hasratnya tercapai apabila dinobatkan sebagai juara Gempak Superstar.

Nak tahu siapa antara empat Siti ini yang menjadi tetamu Rockanova?

Jangan lupa saksikan Rockanova yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program ini boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Manakala diari harian Rockanova, Rock On boleh disaksikan Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks Oleh: Mya Amri