Menjadi pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab Car pasti berdepan dengan pelbagai kerenah manusia.

Kali ini, seorang wanita yang menggunakan akaun Twitter Cik Petir (@OwToTheZie) berkongsi kisah melucukan mengambil penumpang yang merupakan suami sendiri.

Menurut Cik Petir, dia menerima permintaan khidmat Uber di kawasan perumahannya dan tidak menjangka sama sekali penumpang yang bakal menaiki kenderaan adalah suaminya.

"Dapat request uber kt area rumah aku. Tunggu punya tunggu sekali suami sendiri sebokla nak ikut aku mana aku nak pegi!!! KAU BAYAR EH," tulisnya di Twitter semalam.


Tambah mencuit hati apabila wanita itu turut berkongsi beberapa keping foto dia bersama suaminya yang duduk di tempat duduk belakang keretanya bersama ekspresi tersendiri.

Tidak cukup sekadar menjadi penumpang, suaminya juga bertindak 'merembat' minuman yang dibeli oleh wanita itu.

"Stresslah nak.. siap mintak kuatkan aircond..mintak benti nak kencing.. pastu rembat starbucks mak.. biadap," tambahnya.

Gaya bahasa yang bersahaja Cik Petir menempelak suaminya berjaya menggeletek pengguna media sosial.

Malah, ekspresi mereka turut dijadikan meme oleh beberapa pengguna Twitter.

Setakat ini, gambar yang dimuatnaik Cik Petir mendapat 28,000 retweet dan 12,000 likes.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter Cik Petir