Pelakon Serina Redzuawan mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada memberikan sebaran kenyataan mengenai tuntutan cerai daripada suami, Gavin Edward O’luanaigh.

Menurut Serina menerusi sebuah kenyataan di Instagramnya, berkata, dia tampil untuk memberikan kenyataan kerana ingin meluahkan perasaan berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapinya sekarang.

"Banyak sangat berita keluar mengenai rumah tangga saya kebelakangan ini. Saya sebenarnya tak berminat nak sensasikan rumah tangga kami. Sebab itu saya hanya berdiam diri.

"Tidak ada insan yang mendirikan masjid ingin merobohkannya dan saya sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga ini, malangnya banyak perkara yang terlalu sensitif dan tak boleh diceritakan menjadi punca saya memfailkan perceraian.

"Apa yang anda semua baca, menerusi Instagram papa saya dan apa yang Gavin jawab, realitinya hanya Serina yang tahu dan menanggungnya.

"Papa juga mempunyai hak untuk bersuara kerana dia merupakan ayah saya dan saya berharap agar perkara ini tidak dibesarkan lagi kerana masih dalam proses mahkamah," katanya melalui muatnaik di Instagram.

Tambah Serina, dia tidak mahu masalah yang dihadapinya itu akan memberi kesan kepada anak-anaknya bila mereka meningkat dewasa nanti.

"Memang saya sangat sedih. Apabila saya menjemput anak-anak balik dari sekolah, saya mesti menangis. Mereka sentiasa senyum dan masih kecil untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Saya tak mahu mereka menjadi trauma apabila membaca macam-macam komen negatif. Doakan semuanya selesai dengan baik," katanya.

Serina dan suaminya, Gavin Edward atau nama Islamnya Salahudin Ghafar bernikah pada tahun 2010 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi