Penyanyi Bienda menyifatkan penyingkirannya di minggu kedua Gema Gegar Vaganza (GGV) sebagai bukan rezeki.

Menyampaikan lagu Sejati nyanyian asal Faizal Tahir, Bienda menjadi peserta pertama tersingkir meninggalkan sembilan bintang lain yang masih bertanding dalam GGV.

“Sudah bukan rezeki saya untuk bertahan lebih lama di GGV. Saya sudah melakukan yang terbaik dalam GGV. Bukan sahaja saya, malah semua peserta memberikan yang terbaik. Saya sangat bersyukur bertahan sehingga minggu kedua tetapi bukan rezeki saya untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Saya berusaha keras untuk menyampaikan lagu Sejati. Lagu asal Faizal Tahir ini bukan mudah untuk dibawakan, tetapi saya berusaha bersungguh-sungguh. Terima kasih kepada Jippie Pesawat, Hazami dan Hael Hussaini yang membantu saya untuk membawakan lagu ini,” kata Bienda kepada Astro Gempak.

Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Penantian ini, penyertaan dalam GGV juga dianggap sebagai satu cabaran untuk dirinya.

“Pada awalnya, saya sangat takut kerana GGV merupakan satu program realiti yang berunsurkan pertandingan. Mama saya, Sheeda banyak memberikan galakan dan sokongan.

“Selepas berfikir, saya mengambil keputusan untuk mencabar diri sendiri. Alhamdulillah, GGV menjadi satu landasan untuk saya memperkenalkan semula nama saya dalam arena seni suara,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Bienda juga bakal muncul dengan buah tangan terbaru sebagai hadiah istimewa untuk peminatnya.

“Saya sudah merakamkan sebuah single terbaru ciptaan DJ Fuzz. Sesi rakaman sudah berlangsung tiga bulan yang lalu. Kini, saya hanya menanti masa yang sesuai untuk mengeluarkan single saya,” katanya.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal