Menghampiri minggu suku akhir pada minggu hadapan, juri Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, nampaknya semakin tegas mengadili para peserta.

Minggu ke sembilan MLM 2017 menyaksikan naib juara musim lalu, Joras, terpaksa akur dengan keputusan juri apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir.

Joras dan Abioso berada di kedudukan dua terendah dengan markah masing-masing sebanyak 43.89% dan 46.10%.

Dua kumpulan ini juga hanya memperolehi dua HA daripada juri, Datuk Rosyam Nor dan Luna Maya. Lebih mengejutkan apabila Datuk Aznil turut memberi lima ‘krik’ kepada Abioso yang dianggotai pelawak dari Indonesia, iaitu Amin, Sarip dan Mamad.

Sementara itu, Rosyam turut menegur persembahan Joras yang kurang menjadi dan ‘berterabur’ pada minggu ini, selain Luna Maya yang meluahkan rasa kecewanya terhadap persembahan Joey, Shuk dan Rahim.



Menerusi pemerhatian Astro Gempak minggu ini, juri dilihat semakin ‘garang’ dan tegas ketika memberikan komen kepada para peserta.

Bagaimanapun kumpulan Puteh, antara peserta yang mendapat pujian daripada juri kerana sentiasa mempunyai jalan cerita yang baik dalam persembahan dan berjaya membawa karakter dalam lakonan mereka setiap minggu.

Di bawah, Astro Gempak kongsikan kepada anda semua markah penuh kesemua peserta MLM 2017 pada minggu bertemakan ‘Cerita Rakyat & Cerita Moden’:

Zero – 66.66%
Bocey – 63.79%
Shiro – 57.29%
Masin – 54.76%
Puteh – 53.36%
Dzawin – 53.18%
Abioso – 46.10%
Joras – 43.89%


Markah akhir ini berdasarkan sistem pemarkahan 70 peratus oleh juri tetap dan 30 peratus oleh undian penonton menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Pada minggu ini juga, juri semakin ‘kedekut’ untuk memberikan ‘HA’ kepada para peserta:

Bocey – 5HA
Zero – 5HA
Shiro – 3HA
Puteh – 3HA
Masin – 3HA
Abioso – 2HA
Joras – 2HA
Dzawin – 2HA


Di akhir program, Rosyam turut meminta kesemua peserta berjanji dengan penonton dan peminat MLM 2017 untuk tampil dengan lawak yang lebih hebat pada minggu suku akhir, Jumaat depan.

Keseluruhannya, juri berpendapat persembahan kesemua peserta pada minggu ini agak kurang ‘rencah’ berbanding minggu-minggu terdahulu.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini menerusi portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my.

Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update mengenai MLM 2017 satu jam sebelum bermula rancangan.

Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi, manakala Raku bertindak sebagai Radio Digital.