Peserta Rockanova, Yan akui persembahannya terganggu kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.

Yan atau nama sebenarnya Noor Aziyan Siddudin, 32, berkata, dia juga tidak berpuas hati dengan persembahannya di konsert ketiga yang berlangsung pada Rabu lalu.

“Secara jujurnya memang saya sendiri pun tidak puas hati dan agak kecewa dengan persembahan saya minggu ini.

“Disebabkan masalah kesihatan, saya tak dapat nak berikan 100 peratus. Badan saya juga masih lemah kerana mengalami demam yang teruk.

“Saya dah demam tiga hari berturut-turut dan suhunya tidak menentu, sekejap kebah sekejap tidak. Risau juga kalau-kalau terkena denggi.

“Selain demam, saya juga sakit tekak. Sebelum buat persembahan, saya mengambil inisiatif untuk bertemu doktor dan telah diberikan suntikan.

“Saya tahu kesihatan bukanlah satu alasan sebab itu saya teruskan juga persembahan walaupun badan agak lemah ketika itu,” katanya kepada Astro Gempak.

Yan ditemui sejurus tamat konsert ketiga Rockanova yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, pada Rabu.

Yan telah menyampaikan lagu berjudul Akar dan Bumi nyanyian asal kumpulan Amuk.

Peserta berasal dari Perak ini telah menduduki tempat terakhir dengan undian sebanyak 34.2 peratus.

Bagaimanapun, nasib masih lagi menyebelahinya apabila Datuk Hattan selaku Sifu Rock menyelamatkan Yan daripada tersingkir.

Dalam pada itu, hos telah mengumumkan dua peserta baru yang diserap masuk, Yaya dan Azmi.

Minggu keempat bakal menyaksikan kesepuluh peserta Rockanova bersaing dengan tema Rockvaganza.

Rockanova diterajui oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad selaku pengacara dan menampilkan dua juri tetap, Datuk Awie dan Edry Abd Halim.

Manakala pelakon dan penyanyi Erra Fazira hadir sebagai juri jemputan.

Minggu ketiga Rockanova menyaksikan para peserta bersaing dengan lagu bertemakan band lagenda Malaysia.

Rockanova bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB setiap Rabu.

Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Manakala diari harian Rockanova, Rock On boleh disaksikan Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda klik link ini ----> (ROCKANOVA).

Teks Oleh: Mya Amri