Konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) ditunda ke satu tarikh baru pada Julai depan.

Berita penangguhan itu dimaklumkan penganjur, GHC Solutions Sdn Bhd pada Rabu. Salman juga turut berkongsi mengenai berita penangguhan tersebut di laman sosial Facebook dan Twitter miliknya.

Namun begitu, konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan yang bakal berlangsung di Hong Kong, Auckland, Sydney dan Melbourne tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Hello Malaysia, penganjur sudah meminta saya mengatur semula jadual konsert Da Bang di Malaysia. Kami akan kongsi perkembangan terkini mengenai tarikh baharu tidak lama lagi," tulisnya.

Pihak penganjur turut mengeluarkan notis memaklumkan konsert berkenaan akan dijadualkan semula tarikhnya, berkemungkinan besar diadakan pada Julai depan berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan boleh dikatakan sebagai comeback Salman ke pentas persembahan selepas hampir sepuluh tahun tidak berbuat demikian.

Konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan Live in Malaysia akan turut menampilkan bintang ternama seperti Bipasha Pasu, Prabhu Deva, Tamannah, Badshah dan ramai lagi.