Pengarah Erma Fatima bantu usahawan kecil dan sederhana untuk memperkenalkan produk mereka menerusi Mak Cun Mart.

Erma Fatima berkata kesukaran memenangi hati peruncit besar untuk memasarkan produk Mak Cun telah membuatkan dia mengambil keputusan membuka sendiri kedai atas jenama tersebut.

"Saya akui Mak Cun ni bukan sahaja drama tetapi dari situ saya belajar dan timba banyak ilmu termasuk ilmu perniagaan.

"Mak Cun ni seorang yang mempunyai semangat kuat memajukan dirinya dan sanggup melakukan apa sahaja supaya produknya terjual.

"Dari situ, saya dalami rasa bagaimana susah senangnya usahawan kecil dari desa ni hendak mengangkat produk mereka ke supermarket yang besar.

"Jadi, apabila saya bergaul dengan usahawan-usahawan ini, saya seperti memikul harapan mereka yang mahu saya membantu mereka.

"Kini Alhamdulilah dengan kuasa Allah, Mak Cun Mart telah berjaya dibuka di Ukay Perdana," katanya kepada Astro Gempak.

Erma ditemui selepas pelancaran Mak Cun Mart di Sri Pentas, Bandar Utama, sebentar tadi.

Mak Cun Mart yang mempunyai lebih 20 produk termasuk makanan, kecantikan dan fesyen itu hasil kolaborasi usahawan IKS ( Industri Kecil dan Sederhana).

Mak Cun Mart turut dibuka secara online menerusi www.makcunmart.com.my untuk pembelian atas talian.

Mengulas mengenai produk-produk yang terdapat di Mak Cun Mart, Erma memberitahu dia hanya menjual produk yang terbaik untuk dipasarkan.

"Saya terima banyak produk-produk ini dari IKS dan ushawan-usahawan kecil dari seluruh negara tapi tidak semua saya dapat pasarkan.

"Saya sendiri yang pilih dan mencari yang terbaik sebelum setuju untuk dipasarkan dibawah jenama ini.

"Jadi saya yakin dengan produk yang dijual dan harap mendapat tempat di hati pembeli," katanya lagi.

Sementara itu, siri Mak Cun musim ketiga bakal menemui penonton setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam bermula 20 April di TV3.

Teks oleh Syafiqah Jalal