Sayonara, Tora Aman!

Gaya Hidup
Sayonara, Tora Aman!
Selepas 24 tahun beroperasi, Syarikat Penerbitan Tora Aman akhirnya tutup.

Kegemilangan legasi alih bahasa komik manga dan manhwa itu berakhir dengan jualan penutup gudang besar-besaran yang bermula sejak Jumaat lalu.

Pada jualan itu, lebih 100,000 naskhah komik yang dicetak di Penerbitan Tora Aman dijual dengan harga serendah RM2 senaskhah hingga 26 April ini.

Antaranya komik Doraemon, Detektif Conan, Slam Dunk, Captain Tsubasa, Flame of Recca dan Katsu!.

Astro Gempak sempat menemubual pemilik Percetakan Tora Aman, Esther Khor, 40, dan anak perempuannya, Chong Chian Wen, 25, yang bercerita tentang nostalgia indah syarikat itu.

1) Apakah Tora Aman?

Tora Aman adalah sebutan homofonik Doraemon. Aman bermaksud kedamaian dan nama itu dipilih oleh suami Esther, John Baptist, 59, ketika mula-mula membuka syarikat itu pada tahun 1993.




2) 40 staf tinggal 4

"Pada awal membuka kilang percetakan KLK Press Sdn. Bhd. dan Penerbitan Tora Aman, kami mempunyai staf seramai 40 orang. Mereka melakukan kerja mengikut pembahagian tugas antaranya editor, percetakan dan pengedaran," kata Esther.



3) Terlaris Asia

Selepas mendapat kebenaran daripada syarikat yang menerbitkan komik-komik popular Jepun, Esther dan suaminya terus mencetak naskhah terbabit dalam bahasa Melayu.

Mengejutkan apabila syarikatnya menjadi penerbit paling banyak mencetak komik-komik alih bahasa itu berbanding negara Asia lain.



4) Cetakan terakhir 2007

Namun, industri percetakan komik jatuh merudum setelah perkembangan pesat tekonologi Internet dan kemunculan komik-komik online yang memberi variasi kepada pembaca.

"Kali terakhir cetakan komik dilakukan di kilang kami pada tahun 2007. Itupun banyak naskah yang dicetak semula daripada edisi lama.

"Tambahan, tiada episod baharu komik Doraemon selepas kematian penulisnya, Fujiko F. Fujio," ceritanya.





5) Kerugian teruk

Kata Chong Chian yang merupakan anak sulung dalam keluarga itu, sekurang-kurangnya 200 naskhah sahaja terjual setiap bulan dan jumlah kerugian semakin tenat.

"Ada juga pekedai-pekedai kecil yang masih berhutang dengan kami selepas mengambil stok komik untuk dijual. Mereka terus diam dan kami tidak mendapat pulangan daripada penjualan itu," dedahnya.



Semestinya dengan penutupan syarikat Penerbitan Tora Aman secara tidak langsung dunia fantasi kanak-kanak zaman 1990-an pun turut terkubur.

Tahniah diucapkan kepada pasangan Esther dan John atas kegemilangan legasi 24 tahun. Sayonara Tora Aman!

KLK Press Sdn Bhd
No. 9, Jalan BK 1/18, Kinrara Industrial Park, Bandar Kinrara,, 47100, Puchong, Selangor, 47100, Malaysia



Teks & foto oleh: Amri Hassan

Artikel Berkaitan