Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid akui teruja untuk beraksi kali kedua di Stadium Negara untuk konsert solo meganya pada 5 Ogos ini.

Menerusi penganjuran Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017, penyanyi lagu Sinaran itu berkata dia bersyukur akhirnya impiannya untuk mengadakan konsert berskala besar setelah sekian lama tercapai.

"Alhamdulillah impian saya untuk menghiburkan peminat dalam sebuah konsert berskala besar akhirnya tercapai.

"Kesudian penaja merialisasikan penerbitan konsert ini memungkinkan segalanya.

"Mereka mula approach saya penghujung tahun lalu dan tak sangka akhirnya ia jadi kenyataan.

"Selain album baharu, ini adalah hadiah dan kejutan saya buat semua peminat saya di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak

Sheila ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Boneka di Hotel Hilton, petang tadi.

Kali terakhir Sheila beraksi di Stadium Negara pula adalah sekitar 1991 menerusi konsert Legenda.
Pun begitu, Sheila enggan mengulas lanjut mengenai konsertnya kerana bakal mengadakan sebuah sidang media khas kelak.

"Apa yang saya boleh katakan, konsert ini istimewa dan saya akan pastikan semua yang hadir puas dan berhibur pada malam tersebut," katanya lagi.

Konsert ini dianjurkan IME Malaysia, diterbitkan oleh More Entertaiment dan disokong oleh syarikat artis Megada Entertainment.

Konsert ini menggabungkan sistem audio berkualiti tinggi, 100 para profesional dan ahli muzik terhebat yang diterajui penerbit muzik tersohor, Mac Chew.

Tiket-tiket berharga RM888 bagi premium (tempat duduk terhad), VVIP, RM68, VIP RM488, CAT1 RM388, CAT2 RM288, CAT3 RM188 dan CAT4 RM98. Harga tiket termasuk 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi tidak termasuk RM4 yuran pemprosesan.

Jualan tiket bermula pada 14 April 2017, jam 10 am di www.ticketcharge.com.my atau hubungi 03-9222 8811.

Teks oleh: Syafiqah Jalal