Pelakon Shukri Yahaya berdepan detik cemas apabila isterinya Tya Adnan disahkan terkena jangkitan penyakit kencing tikus atau virus leptospirosis pada 28 Mac lalu.

Shukri berkata, ia merupakan kali pertama dia berhadapan situsi cemas dan bimbang dengan keadaan tersebut sepanjang lapan hari isterinya ditahan.

"Pada awalnya dia mengalami demam selama 10 hari dan kami sudah pergi empat buah klinik tapi tetap tidak baik, jadi saya bawa dia ke hospital pula.

Selepas itu doktor mengesahkan dia terkena jangkitan kencing tikus. Perasaan saya cukup bimbang kerana penyakit itu bahaya dan boleh membawa maut," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang punca jangkitan, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku ini berkata, dia kurang pasti bagaimana ia boleh berlaku.

Saya tidak tahu punca daripada mana (jangkitan) kerana Tya jarang keluar rumah, kami selalu makan di gerai-gerai tapi yang pelik kenapa pula dia seorang sahaja yang terkena kerana saya juga makan apa yang dia makan," ujarnya.

Bagaimanapun Tya telah dibenarkan pulang ke rumah empat hari lalu dan masih dalam keadaan lemah.

Tambah Shukri, 28, semangat isterinya hilang dan memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi daripada ahli keluarga.

"Alhamdulillah, dia sudah dibenarkan pulang empat hari lalu selepas lapan hari berada di hospital kerana jangkitan kencing tikus.

"Tapi keadaan dia masih lemah dan hilang semangat, nasib baik keluarga kami dekat dan ibu banyak membantu menjaga isteri dan anak saya," ujarnya.