Bagi mereka yang inginkan keselesaan ketika bekerja, beriadah mahupun bersukan, tudung unik Ieha Energy adalah pilihan yang sesuai.

Dua daripada tiga rekaan Ieha Energy iaitu Eccentric dan Unity mempunyai lubang kecil khas bagi kegunaan peralatan bunyi seperti earphone dan stetoskop.

Menurut Pengasas dan Pengarah syarikat Ieha Arshad Enterprise, Zalihar Arshad, koleksi berkenaan adalah rekaan ketiganya yang memfokuskan kepada golongan remaja hingga profesional.

“Saya mendapat idea untuk membuat rekaan tudung tersebut menerusi beberapa aktiviti marathon yang pernah saya sertai tidak lama dulu.

“Ternyata banyak aspek yang boleh mempengaruhi keselesaan wanita muslimah apalagi jika aktiviti itu mengeluarkan peluh. Jadi, rekaan ini saya keluarkan demi memenuhi kriteria keselesaan yang mereka idamkan.

“Selain itu, saya juga mendapat inspirasi menerusi kisah sahabat saya yang juga merupakan seorang doktor.

“Dia memberitahu agak sukar dan tidak selesa apabila terpaksa memasukkan alat stetoskop ke dalam tudungnya.

“Jadi daripada situ saya terfikir kenapa tidak membuat rekaan tudung untuk memudahkan mereka yang bekerja dalam bidang profesonal,” Katanya.

Dilancarkan di Minggu Fesyen Islamik Asia baru-baru ini, Ieha Arshad telah berkolaborasi bersama Nur

Aini Sirojudin untuk koleksi terbaru itu selain menampilkan ikon muslimah, Da’i Hamidah.

Ieha Energy yang terdiri daripada tiga rekaan berbeza iaitu Dash, Eccentric dan Unity ini mengekalkan ciri-ciri muslimah serta keselesaan kepada pemakai.

Keselesaan utama Ieha Energy terletak pada jenis material hijab yang menggunakan fabrik moss crepe.

Fabrik ini jenis mudah kering terutama apabila berpeluh dan lebih istimewa ia tidak menyerap bau peluh dan sejuk. Cara pemakaiannya juga mudah dengan hanya menyarungkan sahaja di kepala.

Rekaannya yang labuh dan menutup dada menjadi satu lagi kelebihan utamanya. Ieha Energy sangat menekankan kepada konsep muslimah dan semestinya menutup kebimbangan wanita yang sangat mementingkan penjagaan aurat.

Ieha Energy boleh didapati dengan dua pilihan saiz iaitu M (berukuran 15.5 inci dari bawah dagu dan 26 inci dari awning ke belakang) dan L (20 inci dari bawah dagu dan 29.5 inci dari awning ke belakang) manakala pilihan warnanya juga banyak iaitu 11 kesemuanya.

Sebagai melengkapkan lagi Ieha Energy, koleksi ini juga turut dikeluarkan dengan rangkaian pakaian yang dinamakan Energy Volt.

Energy Volt boleh didapati daripada baju hingga seluar, rekaan ini menggunakan fabrik mikrofiber yang ringan, sejuk, mudah menyerap peluh dan sangat selesa.