Bakat lakonan aktor Syafiq Kyle kian menyinar selepas menempuhi beberapa siri kontroversi semenjak muncul dalam dunia hiburan.

Pernah dikaitkan dengan kontroversi cinta bersama aktres Uqasha Senrose, Syafiq mahu terus melangkah ke hadapan dan menonjolkam bakat lakonannya.

“Saya percaya yang kita harus menempuhi kepayahan sebelum menemui kemanisan. Begitu juga dengan perjalanan kerjaya saya.

“Syukur kerana bakat lakonan saya semakin mendapat perhatian. Menerusi drama bersiri Suamiku Paling Sweet bersama Mawar Rashid, orang mula memperkatakan mengenai karakter yang saya bawakan.

“Anugerah Pelakon Paling Membantu yang saya terima di Malam Throwbaek Drama juga menjadi tanda peminat mula menghargai bakat lakonan saya. Saya sangat gembira,” kata Syafiq kepada Astro Gempak.

Menerima anugerah menerusi lakoannya dalam drama bersiri Tanah Kubur, Syafiq berterima kasih kepada peminat yang mengundinya.

“Ini anugerah pertama saya. Saya rasa sangat bersyukur dan berbangga atas penghargaan ini. Saya berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus menyokong kerjaya seni saya dan mengundi di Malam Throwbaek Drama.

“Anugerah ini saya jadikan penguat semangat untuk terus bekerja dengan lebih kuat. Saya berjanji untuk muncul dengan mutu lakonan yang lebih berkualiti untuk menghargai jasa peminat saya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal