Pendatang baru bidang muzik, Wani, 22, meluahkan rasa gementar untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi senior dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV).

“Pada awalnya, saya rasa agak takut dan gementar. Rasa itu datang kerana saya memikirkan yang saya harus bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang berpengalaman dalam bidang muzik.

“Namun begitu, saya kuatkan hati dan mencabar diri sendiri. Saya akan menimba pengalaman baru dalam GGV dan berharap agar dapat belajar pelbagai perkara baru,” kata Wani kepada Astro Gempak.

Tambah pemilik nama penuh Nur Syazwani Selamat ini, GGV menjadi platform untuk memperkenalkan lagi bakatnya.

“Bagi saya, GGV merupakan landasan untuk saya memperkenalkan bakat saya kepada peminat di luar saya. Walaupun saya sudah mempunyai peminat tersendiri, saya mahu memikat penonton di luar sana agar mereka dapat melihat kemampuan dan bakat yang saya tawarkan dalam bidang muzik,” katanya yang popular menerusi lagu Alhamdulillah, duet bersama Juzzthin.

Gema Gegar Vaganza bersiaran setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 April di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Untuk lebih info mengenai program ini, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal