Pelakon Aiman Hakim akui cuaca sejuk merupakan cabaran utama ketika menjalani penggambaran di Korea untuk filem Kimchi Untuk Awak (KUA).

Menurut Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh, 28, dia terpaksa menggunakan pengering rambut selama satu jam untuk memanaskan badannya.

“Cabaran utama memang cuaca dan walaupun kami melakukan penggambaran pada musim bunga tapi suhunya sangat sejuk.

“Pernah satu ketika bila kami nak mulakan penggambaran tiba-tiba angin bertiup dan kami semua terpaksa masuk ke dalam bangunan sebab terlalu sejuk.

“Sejujurnya lepas terkena angin itu, saya demam dan terpaksa menggunakan pengering rambut selama satu jam untuk memanaskan badan,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, Aiman yang memangang watak sebagai Danial Lee ini juga berkongsi mengenai babak yang paling diingati olehnya.

“Babak yang paling saya tak boleh lupa apabila terpaksa membuka baju di hadapan Emma dan berlagak seolah-olah tidak sejuk.

“Sebenarnya suhu pada waktu itu lebih kurang 10 ke 11 darjah celcius dan cuaca pada waktu itu pula berangin.

“Keadaan itu juga menyukarkan kami untuk menuturkan dialog kerana terlalu sejuk. Wajah kami pula terasa seperti beku.

“Tapi apapun kami dah cuba yang terbaik dan cabaran itu saya anggap antara kenangan manis ketika berada di Korea,” ujarnya.

Selain Aiman, Kimchi Untuk Awak turut dibintangi oleh Emma Maembong, Janna Nick, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz dan Sharifah Sakinah.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini telah berada dipawagam bermula 30 Mac lalu.

KUA juga merupakan filem pertama arahan Michael Ang.

Kimchi Untuk Awak mengisahkan tentang pertemuan Bella (Emma Maembong) dengan seorang lelaki Melayu kacukan Korea, Danial Lee Jae Hwan (Aiman Hakim) secara tidak sengaja di Lapangan Terbang Incheon.

Pertemuan itu menimbulkan rasa benci Bella terhadap Danial kerana sikapnya yang berlagak dan menggelarnya sebagai Samseng.

Bagaimanapun satu insiden menyebabkan Bella dan Danial terpaksa diijabkabulkan atas sebab tertentu.

Ketika cinta mula berputik, timbul pula salah faham sehingga menyebabkan Bella mengambil keputusan untuk membawa diri ke Seoul.

Danial kemudiannya nekad untuk mencari Bella dan memikat kembali hatinya.

Dari situ bermulanya bibit-bibit percintaan romantik antara Bella dan Danial.

Dapatkah Daniel mempertahankan perkahwinan mereka selepas Yoo Ri dan Zara muncul untuk menganggu rumahtangga mereka?

Teks oleh: Mya Amri