Pihak stesen televisyen Singapura Mediacorp Saluran 5, memohon maaf secara terbuka kerana selepas menyiarkan sebuah program mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengundang kemarahan rakyat negara ini.

Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Mediacorp, Debra Soon menerusi sebuah kenyataan media, memohon maaf kepada semua yang terkesan khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saluran 5 dan pihak produksi rancangan OK Chope! ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk segmen pada episod minggu lalu.

"Pihak kami juga tidak akan menyiarkan semula siaran ulangan rancang tersebut untuk tontonan penonton. Kami juga ingin memohon maaf sekali lagi untuk kesilapan ini," katanya.

Sementara itu,menerusi kenyataan yang sama, pelawak Najip Ali, berkata, dia sedar dengan kesalahan yang telah dilakukan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat di Malaysia.

"Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan semua rakyat di Malaysia kerana tidak sensitif mengenai isu ini," katanya.

OK Chope! merupakan rancangan mingguan dan menampilkan pelawak untuk berjenaka melalui berita-berita terkini. Untuk episod ke-26, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadi sebahagian daripada rujukan bahan lawak peserta.

Menerusi episod tersebut tetamu undangan diminta mengulas tajuk berita berkaitan Najib yang bertajuk 'Najib slams 'fake news' for threatening Malaysia's progress' , namun isu mula timbul apabila perkataan 'fake news' telah digugurkan dan ditukarkan kepada 'Najib slams ..... for threatening Malaysia's progress'.