Pelakon Aidil Aziz akui kerjaya seninya terganggu selepas didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat hampir 465 gram pada September tahun lalu.

Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 29, berkata, perkara tersebut telah memberi kesan negatif kepada kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Saya telah menerima pelbagai tomahan daripada orang ramai selepas keluar daripada penjara.

"Perkara yang terjadi ini telah memberi kesan terbesar kepada kerjaya seni saya sebagai seorang selebriti.

"Jadi buat masa sekarang saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada industri dan memberikan fokus kepada perniagaan yang sedang dijalankan.

"Saya juga perlu bercampur dengan orang-orang yang positif supaya dapat terus maju pada masa yang akan datang.

"Saya percaya rezeki itu ada di mana-mana," katanya kepada Astro Gempak.

Aidil berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan jersi pasukan bola sepak MASC yang diadakan di The Garage, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, Aidil telah dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dan akan terus berada di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun.

Pelakon itu telah ditahan untuk siasatan bersama dua orang lagi rakannya selepas didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dan memiliki senjata berbahaya.

Aidil ditahan bersama Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 37, dan R. Guevara Cortez, 34, di sebuah kediaman di Jalan Ampang.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi