Pelakon Saharul Ridzwan mengakui dirinya berasa lega selepas dapat memenuhi permintaan isterinya yang sedang hamil.

Memenuhi permintaan isteri yang sedang mengidam, Saharul sanggup mencari buah kelapa muda pada pukul 3.00 pagi.

Kejadian tersebut berlaku ketika isteri Saharul, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir di fasa awal kehamilan.

"Isteri saya teringin untuk menikmati air kelapa muda pada jam 3.00 pagi. Namun begitu, dia tidak mahu air kelapa daripada kelapa yang sudah dikopek sabutnya. Kebanyakan air kelapa yang dijual di kedai sudah siap dikopek sabutnya.

"Saya terpaksa mencari sekitar di Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan isteri saya. Akhirnya, saya berjaya memenuhi permintaan isteri dan berjumpa dengan kelapa yang masih mempunyai sabut di sebuah kedai berhampiran Kampung Baru.

"Saya lega kerana dapat memenuhi permintaan isteri, lagi-lagi apabila saya dapat mengetahui yang dia sedang berada di fasa awal kehamilan,” kata Saharul ketika ditemui di majlis perlantikannya sebagai duta dan ikon Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, baru-baru ini.

Menerusi perlantikan tersebut, hero drama bersiri Assalamualaikum Cinta ini mengikat kontrak selama setahun.

"KRUM telah pun ditubuhkan pada penghujung tahun 2016 dan kelab ini menyasarkan pelajar sekolah dan remaja berusia 10 hingga 25 tahun. Memandangkan saya mempunyai kelulusan dalam Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, saya teruja untuk menggalas tanggungjawab ini.

"Bidang ini sangat menarik untuk diterokai dan saya sangat gembira apabila mendapat peluang sebegini untuk memberi sedikit sebanyak pendedahan kepada pelajar mengenai bidang ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Saharul dan isterinya tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017) menerusi kategori Couple MeleTOP.

Talian undian fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm serta aplikasi ERA dan Raku bermula 28 Mac sehingga 23 April ini.

AME 2017 bakal menyaksikan Neelofa, Nabil Ahmad dan Johan sebagai pengacara. Penyampai Era FM, Radin serta Fad Bocey akan mengendalikan acara Karpet MeleTOP.

AME 2017 akan bersiaran secara langsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Ahad, 23 April 2017 jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal