Isteri kepada pelakon Shukri Yahaya iaitu Tya Adnan dimasukkan ke pusat perubatan di Kajang akibat terkena jangkitan kencing tikus, kelmarin.

Shukri,29, mengesahkan keadaan Tya atau nama sebenarnya Siti Nurfatihah Ahmad Adnan,25, kini semakin stabil selepas menerima rawatan.

“Doktor mengesahkan dia terkena jangkitan kencing tikus, alhamdulillah selepas dua hari ditahan di wad, keadaan isteri semakin stabil.

“Bagaimanapun, Tya terpaksa ditahan untuk tempoh tiga hari lagi kerana perlu dipantau doktor,” katanya.

Menurut Shukri, pada awalnya Tya hanya mengalami demam yang berlarutan selama 10 hari.

“Ketika itu, suhu badannya juga meningkat sehingga 39 ke 40 darjah celsius.

"Pada waktu malam pula, demamnya semakin menjadi-jadi sehingga menggigil.

"Selain itu, badannya turut ditumbuhi bintik-bintik kemerahan,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro