Hampir setiap hujung minggu, pasti akan ada acara larian yang dianjurkan oleh badan korporat atau badan kebajikan dan acara tersebut mendapat sambutan hangat khususnya golongan belia.

Acara larian ini menjadi trend anak muda masa kini bagi mengisi masa lapang dan beriadah bersama rakan mahupun keluarga.

Oleh itu, kami senaraikan lima jenis acara larian yang popular di Malaysia dan pasti menarik minat anda untuk turut serta:



1. Road Run
Bagi mereka yang baru menjinakkan diri dalam acara ini, anda boleh membuka langkah dengan menyertai Road Run. Bagi acara ini, peserta hanya perlu berlari di atas jalan tar. Terdapat pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti Half Maraton yang memerlukan anda untuk berlari sejauh 21 km dan Full Maraton sejauh 42 km. Acara Road Run ini amat popular di Malaysia dan boleh dikatakan hampir setiap bulan akan ada badan korporat yang akan anjurkan acara berkenaan seperti Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon dan Putrajaya Night Marathon



2. Trail Run
Buat mereka yang sukakan cabaran, anda boleh cuba untuk sertai Train Run. Larian ini selalunya dilakukan dalam hutan, ladang kelapa sawit dan kebanyakannya di tempat yang permukaannya tidak rata. Ada di antara halangan yang memerlukan anda untuk memanjat gunung dan meredah sungai. Antara Trail Run yang popular di Malaysia adalah King of Kg Kemensah dan Penang Eco 100.



3. Colour Run
Acara ini amat sesuai bagi mereka yang ingin beriadah sambil bersantai dengan keluarga mahupun rakan-rakan. Colour Run ini hanya memerlukan anda untuk berlari sejauh tiga hingga lima kilometer. Apa yang lebih menarik tentang acara ini adalah sebahagian daripada penganjur akan memasang muzik di sepanjang trek larian.



4. Obstacle Run
Bagi larian ini, kebiasaannya peserta perlu berlari dan mengharungi cabaran yang disediakan disepanjang larian. Halangan-halangan yang perlu ditempuhi adalah seperti merangkak dalam lumpur, memanjat batu-batuan, dan sebagainya. Antara acara Obstacle Run yang paling popular di Malaysia adalah Viper Challenge dan Spartan Race.



5. Towerthon
Towerthon ini sesuai untuk mereka yang sukakan kelainan. Kebiasaannya anda perlu berlari beberapa kilometer di jalan raya, kemudian mendaki hingga ke puncak bangunan menggunakan tangga. Acara Towerthon popular yang sering dianjurkan adalah KL Towerthon, di mana peserta akan berlari menggunakan tangga hingga ke puncak Menara Kuala Lumpur


Sumber : Iluminasi.com
Olahan : Izzat Ridzwan