Pelawak terkenal Johan diumumkan sebagai pengacara bersama Anugerah MeleTOP 2017 (AME2017) disamping Nabil Ahmad dan juga Neelofa.

Menurut Johan dia begitu teruja dan tidak sabar untuk mengendalikan program berkenaan.

"Saya rasa teruja dapat bergabung dengan Nabil dan Neelofa untuk mengacarakan program ini.

"Saya akan cuba mengendalikan anugerah ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, AME2017 menyaksikan pelakon Neelofa dan penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza mendominasi senarai calon akhir Anugerah MeleTOP ERA 2017 (AME2017).

Neelofa menguasai senarai calon AME2017 dengan lima pencalonan daripada 17 kategori yang dipertandingkan.

Lima kategori tersebut adalah Hos MeleTOP, Fesyen MeleTOP, Bintang Online MeleTOP, Pelakon TV MeleTOP dan Program MeleTOP menerusi rancangan Taste Selebriti (episod Neelofa).

Manakala Datuk Siti pula terpilih untuk empat pencalonan iaitu Penyanyi MeleTOP, Bintang Online MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP (bersama Faizal Tahir) dan Program MeleTOP menerusi rancangan Super Spontan All Star.

Menurut Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris, jumlah peratusan undian yang diterima untuk fasa pertama meningkat secara mendadak berbanding tahun lalu.

"Penganjuran AME bukan sekadar mengiktiraf penggiat seni sebaliknya menyerahkan seratus peratus kuasa kepada peminat untuk memilih artis pujaan mereka sebagai pemenang.

"Peningkatan ini membuktikan penganjuran AME adalah relevan dan pencetus perubahan dalam evolusi dunia hiburan tanah air," katanya ketika sidang media AME2017 yang berlangsung di Zouk Club, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam pada itu, undian fasa kedua akan mula dibuka pada 28 Mac hingga 23 April 2017.

Calon-calon boleh diundi menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my.

AME 2017 bakal berlansung pada 23 April depan, jam 9 malam bertempat di Stadium Malawati Shah Alam.

AME 2017 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123)dan Astro on the Go

Teks oleh : Mya Amri