Seorang pekerja didakwa mendera dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat penjagaan.

Kejadian yang berlaku di Children's Lighthouse Daycare di Spring, Texas itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Menerusi rakaman CCTV, tertuduh, Gregory Diglin, dilihat mengangkat kanak-kanak itu dengan memegang sebelah tangannya sebelum menghempas ke lantai beberapa kali.

Rakaman itu juga jelas menunjukkan Diglin menarik mangsa yang menangis ke satu sudut dan mencuci darah kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun, Diglin telah dihadapkan ke mahkamah Rabu lalu.

Menurut laporan ABC 7, lelaki itu kini ditahan dipenjara selepas gagal membayar ikat jamin sebanyak AS$200,000 (RM882,200).

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Montgomery, Matthew Rodrigue, berkata ikat jamin yang tinggi dikenakan kerana ia membabitkan keganasan terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada muka dan kawasan mulut serta bibir dan gusinya luka,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan pusat jagaan berkenaan, Diglin telah dipecat serta-merta dan pihaknya juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Berikut kami kongsikan rakaman CCTV seorang lelaki memukul kanak-kanak tersebut hingga cedera.



Sumber : Harian Metro
Olahan : Izzat Ridzwan