Salah sebuah eskalator terpanjang di Hong Kong telah bergerak ke arah bertentangan secara tiba-tiba menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang tercedera.

Kejadian itu berlaku di pusat membeli-belah Langham Place semalam dan video rakaman insiden berkenaan juga telah menjadi viral.

Difahamkan eskalator berukuran sepanjang 45 meter itu mengalami masalah teknikal dan bergerak arah bertentangan mengakibatkan ramai pengunjung panik dan terjatuh.

Insiden itu berlaku pada kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan).

Menurut portal Chanel News, seramai 14 wanita dan empat lelaki cedera dan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala dan berada dalam keadaan kritikal.

Mereka kini dirawat di Hospital Kwong Wah dan Hospital Queen Elizabeth.

Dalam pada itu seorang mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki menyatakan eskalator itu bergerak sebanyak dua kali lebih cepat daripada biasa sebelum berhenti untuk beberapa minit.

Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Tina memberitahu ketika kejadian, orang ramai mula panik dan menjerit dalam ketakutan.

"Saya mendengar orang menjerit, keadaan menjadi panik dan ada yang jatuh ke bawah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Langham Place menjelaskan semua eskalator di pusat membeli-belah itu telah diperiksa mengikut undang-undang oleh syarikat Otis Elevator (kontraktor penyenggaraan).

“Eskalator yang mengalami kerosakan itu menjalani pemeriksaan tahunan dua kali setahun, dengan pemeriksaan yang terakhir dibuat pada 27 Januari lalu serta pemeriksaan rutin setiap dua minggu,” jelasnya.

Difahamkan, pihak pengurusan pusat membeli belah bersama syarikat Otis Elevator sedang menyiasat kejadian.

Sumber: Astro Awani