Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta akui tidak pernah mengaut keuntungan daripada populariti anaknya, Aaisyah Dhia Rana.

Che Ta berkata wang Aaisyah hasil penglibatannya dalam bidang seni disimpan untuk masa depan anaknya itu.

"Kalau saya jual anak tetapi bayaran yang saya terima itu setimpal dan berbaloi apa salahnya.

"Aaisyah bernasib baik kerana rezeki dia murah dan diambil untuk ada program realiti sendiri seperti Little Princess Aaisyah.

"Terus-terang apa yang Aaisyah dapat hasil kerjanya sendiri selama ini saya tidak pernah ambil kerana semua itu untuk simpanan masa depan dia.

"Lagipun saya bukan orang susah nak jual anak dan hidup saya ni bukan bergantung pada anak," katanya kepada Astro Gempak.

Aaisyah yang kini berusia 2 tahun 4 bulan itu bakal muncul dalam program realiti Little Princess Aaisyah bermula 12 April depan setiap hari Rabu pada pukul 9 malam.

Ia akan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Mengulas mengenai program realiti tersebut, Che Ta memberitahu dia menerima tawaran tersebut setelah meneliti kontraknya dan mendapati ia tidak terlalu membebankan Aaisyah untuk menjayakannya.

"Penggambaran ini dijalankan selama 14 hari tetapi saya lihat ia tidak membebankan Aaisyah kerana mana kebanyakan hari mengikut jadual dan rutin anak saya sahaja.

"Namun, ia tidak memaparkan keseluruhan kehidupan anak saya kerana saya boleh katakan hanya 40 peratus sahaja mengenai Aaisyah dipaparkan.

"Namun saya boleh katakan penonton akan berpeluang melihat momen-momen menarik Aaisyah yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal