Tunang kepada penyanyi Hafiz Hamidun, Joy Revfa akui tidak terasa hati apabila statusnya sebagai seorang ibu tunggal dipersoalkan.

Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin, 30, berkata perkara itu tidak sedikit pun mengganggu emosinya dan menganggap isu tersebut hanyalah perkara biasa.

“Saya tahu ramai yang mempersoalkan status saya dan bertanya mengapa Hafiz mahu mengambil seorang ibu tunggal sebagai isteri.

“Tapi saya tidak terasa, nak buat macam mana sebab bagi saya jodoh dan pertemuan adalah ketentuan tuhan.

“Kadang-kadang bila baca komen-komen negatif di Facebook atau Instagram, saya rasa itu perkara biasa dan kita pun tak boleh nak suruh orang suka kita.

“Masing-masing ada pendapat sendiri dan apa yang boleh saya lakukan ialah menjaga dan memperkukuhkan hubungan kami supaya tidak retak.

“Saya menganggap ini sebagai salah satu cabaran dan ambil semuanya secara positif,” katanya.

Joy ditemui selepas majlis pertunangannya yang berlangsung di The Vanue, Shah Alam pada Rabu.

Mengulas mengenai pertunangannya, Joy memberitahu pada mulanya dia berasa agak takut untuk menerima lamaran Hafiz kerana pernah melalui fasa penceraian sebelum ini.

“Memang saya akui sewaktu Hafiz melamar untuk bertunang, secara jujurnya saya memang takut.

“Sebab saya khuatir peristiwa lama akan berulang kembali. Jadi saya tanya Hafiz sama ada dia benar-benar sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah.

“Dan dia berkata sudah lebih daripada bersedia dan berjanji untuk menjadi seorang suami yang baik dan setia, InshaAllah.

“Itulah perkara yang paling wanita harapkan selain mampu menjaga dan membimbing hingga ke Jannah,” ujarnya.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan selepas berkenalan kira-kira empat minggu lalu.

Joy sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

Hafiz bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 Mei depan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam manakala majlis resepsi akan diadakan pada 1 Julai nanti.

Teks oleh: Mya Amri