Filem Power Rangers akan diteruskan tayangan pada hari esok (23 Mac) seperti yang telah dijadualkan.

Pengesahan itu dibuat oleh wakil TGV Cinemas menerusi kenyataan media petang tadi.

"Kami ingin maklumkan bahawa filem Power Rangers akan ditayangkan seperti yang telah dijadualkan (23 Mac 2017)!

"Tempoh tayangan adalah 124 minit tanpa sebarangan potongan dengan klasifikasi P13," jelas wakil TGV Cinemas.



Filem tersebut telah mengundang perdebatan di media sosial semalam selepas pengarahnya, Dean Israelite mendedahkan naskhah itu menampilkan watak adiwira lesbian buat kali pertama di layar perak.

Menerusi laporan media pagi tadi, jurucakap TGV Pictures turut menjelaskan filem itu sudah melepasi sesi saringan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan tiada masalah untuk ditayangkan.

Selepas Beauty and the Beast, filem itu mencetuskan kontroversi yang hampir sama apabila watak Yellow Ranger, Trini (lakonan Becky G) dilaporkan menghidapi kekeliruan seksual.



Teks oleh: Amri Hassan