Penyanyi popular Dayang Nurfaizah menjelaskan dia tidak pernah berahsia berkenaan soal jodoh dan berumah tangga.

Katanya, sekiranya dia mempunyai kekasih dan perhubungan yang akan membawa ke jenjang pelamin, dia pasti akan berkongsi kepada peminatnya.

"Kekasih? Kalau saya ada sudah tentu saya akan beritahu tetapi malangnya sekarang saya belum ada kekasih.

"Saya bukannya seorang perahsia, memang pada usia ini saya nak berkahwin cuma masih belum berjumpa jejaka untuk dijadikan suami. Doa-doakan semoga cepat dipertemukan jodoh," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran Tapestry of Colours 2017 di KLCC baru-baru ini.


Kredit foto: IG @boscoooooooooooooo

Ulas Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 35, sebagai seorang wanita dia pasti mempunyai keinginan untuk berkahwin dan berkeluarga.

"Saya sendiri sebenarnya tidak menyangka masih bujang sampai usia ini. Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan target sampai bila saya harus solo.

"Kerjaya saya bermula dari zaman persekolahan dan sejak itu saya tidak pernah bercinta jadi saya tidak pernah putus cinta kerana tidak pernah melalui perasaan bercinta," katanya.

Mungkinkah Dayang sendiri enggan membenarkan sebarang lelaki mendekatinya sepanjang bergelar artis? Jawab penyanyi lagu Lelaki Teragung itu dia sendiri tidak menyedari sekiranya dia didampingi mana-mana lelaki sepanjang hidupnya.

"Bukan saya tidak benarkan lelaki mendekati saya, tetapi saya sendiri tidak sedar. Jadi, sukar untuk mengulas tentang hati dan perasaan," jelas Dayang.

Teks oleh: Amri Hassan