Pelakon Anzalna Nasir akui tidak berasa tertekan walaupun sering ditanya mengenai soal anak.

Menurut Anzalna, 29, dia dan suaminya, Muhamad Hanif Mohamad Zaki sudah bersedia untuk menimang cahaya mata namun rezeki masih belum berpihak kepadanya.

“Memang ramai yang bertanya mengenai soal anak namun saya anggap pertanyaan itu adalah normal untuk orang yang dah berkahwin.

“Kalau ikutkan saya dan suami memang dah bersedia tapi nak buat macam mana belum ada rezeki.

“Buat apa nak rasa tertekan, Kalau kita rasa nak sangat ada anak pun kalau tuhan belum bagi nak buat macam mana.

“Lagipun saya ada ramai anak buah jadi apalah salahnya jika saya ‘practice’ dulu sementara nak tunggu ada anak sendiri kan,” katanya kepada Astro Gempak.

Anzalna ditemui pada sidang media pelancaran Rangkaian Drama Melayu Astro 2017 bertempat di Saloma Bistro, Ampang pada petang Rabu.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Anzalna bakal terlibat dengan drama rantaian 100 episod berjudul Arluna.

“Sebenanya saya lebih selesa untuk berlakon drama yang panjang sebab saya pernah ada pengalaman berlakon dalam Memori Cinta Suraya jadi saya tidak perlu risau.

“Lagipun saya dah pernah kerja dengan Global Station, saya dah tahu cara kerja mereka jadi tak ada masalah untuk saya membuat penggambaran dengan kru produksi,” ujarnya.

Selain Anzalna, drama tersebut turut dibintangi oleh Saharul Ridzwan.
Arluna bakal ditayangkan menerusi slot Tiara di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Mya Amri