Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Syaiful Zero akui tidak mempunyai sebarang rahsia untuk kekal konsisten dalam persembahan mereka.

Menurut Syaiful atau nama sebenarnya Mohd Syaiful Bin Doli Sharif, 28, mereka hanya melakukan sesi latihan dan berusaha memperbaiki mutu persembahan mereka setiap minggu.

"Rahsia konsisten itu tak ada cuma usaha keras adik-beradik saja.

"Kami sentiasa berbincang dan memperbaiki kelemahan kami melalui komen-komen yang diberikan oleh juri.

"Bagi kami penonton itu penting dan kami mahu mereka terhibur dengan persembahan kami," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Syaiful, Zero dianggotai oleh Sharif dan Atu.



Dalam pada itu, Syaiful memberitahu begitu seronok melihat reaksi penonton yang menyukai persembahan mereka.

"Bila lihat mereka suka dan ketawa, saya rasa lega. Tapi andai kata ada yang tak suka, kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan memperbaiki mutu persembahan kami.

"Apa yang penting usaha dan jangan putus asa. Tugas kami buat orang ketawa dan bila mereka ketawa itu tandanya kita berjaya pikat hati mereka," ujarnya.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa .

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari MAHARAJA LAWAK MEGA.

Untuk mengundi Gempak Man Of The Match, sila KLIK DI SINI.

Teks oleh: Mya Amri