Pelakon jelita Emma Maembong sedia menerima kritikan dan teguran penonton kerana menjayakan adegan bersentuhan dan berpelukan dengan aktor Aiman Hakim Ridza dalam filem Kimchi Untuk Awak.

Menyedari perkara yang dilakukan olehnya tidak mengikut landasan agama, Emma enggan memberikan komen lanjut

"Saya akui perkara itu salah tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut. Biarlah perkara itu antara saya dan Tuhan.

"Saya juga sudah bersedia untuk menerima teguran dan kritikan mengenai perkara tersebut. Saya tahu perkara tersebut salah, jadi bila ada orang menasihati saya, saya tidak akan marah dan menerima dengan hati terbuka.

"Saya cuba mengelak untuk melakukan adegan-adegan sedemikian, tetapi kadangkala, untuk beberapa babak tertentu, saya gagal untuk melakukan perkara tersebut," kata Emma kepada Astro Gempak.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Emma sedar yang pilihan terletak ditangannya sendiri.

"Saya tak mahu tuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak kerana pilihan terletak di tangan saya. Saya sendiri buat keputusan sama ada mahu meneruskan atau tidak.

“Perkara tersebut antara saya dan Tuhan. Sebagai seorang manusia, saya akan tetap mencuba untuk menjadi yang terbaik dan memperbaiki kesilapan saya," katanya ketika ditemui di sidang media majlis pelancaran filem Kimchi Untuk Awak.

Dalam perkembangan lain, Emma gementar menanti sambutan penonton kerana filem ini merupakan filem pertama yang menyaksikan dirinya membawa watak utama.

"Segalanya baru bagi saya. Berlakon filem mempunyai perbezaan yang besar berbanding beraksi dalam drama bersiri atau telefilem. Ini filem pertama yang menampilkan saya menjadi teraju utama, begitu juga dengan Aiman. Saya berharap agar filem ini mendapat sambutan," katanya lagi.

Selain Emma dan Aiman, Kimchi Untuk Awak turut dibintangi oleh Janna Nick, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal