Pelakon dan pengarah Dira Abu Zahar menganggap zamannya untuk tampil sebagai seorang pelakon di kaca televisyen dan layar perak telah berlalu.

Mengambil keputusan untuk berhenti berlakon, Dira mahu menumpukan fokus terhadap bidang pengarahan.

"Saya menetapkan hasrat untuk tidak berlakon kerana merasakan zaman saya telah berlalu. Dunia hiburan ini berputar dan pantas bergerak. Saban hari akan ada sahaja bakat baru yang mewarnai dunia lakonan.

"Saya masih terlibat dalam bidang seni tetapi saya mahu meneroka lagi bidang pengarahan. Saya cuma mahu berhenti berlakon sahaja," kata Dira kepada Astro Gempak ketika ditemui di sidang media pelancaran filem Kimchi Untuk Awak pada Sabtu.

Filem lakonan Dira bersama Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza dan ramai lagi ini menjadi buah tangan terakhir Dira yang akan disiarkan di layar perak.

"Filem ini akan menjadi filem terakhir lakonan saya. Berbeza dengan Aiman dan Emma, filem ini menjadi filem debut untuk mereka.

"Saya memegang watak sebagai kakak kepada Bella lakonan Emma. Saya berharap agar filem ini akan mendapat sambutan," katanya lagi.

Kimchi Untuk Awak yang diterbitkan oleh Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton pada 30 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal