Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Danial, mengakui banyak menerima nasihat dan teguran daripada pelawak senior tanah air.

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 24, berkata mereka banyak memberi tunjuk ajar dan idea untuk melakukan persembahan di atas pentas.

"Saya banyak menerima teguran dan bantuan daripada pelawak-pelawak senior yang lebih berpengalaman mengenai persembahan saya.

"Memandangkan saya sebagai pelawak junior jadi mereka banyak memberi tunjuk ajar dan cara-cara memperbaiki mutu persembahan ketika berada di atas pentas.

"Mereka juga akan menyokong apa yang saya lakukan dan memberikan kata-kata semangat memandangkan saya ini merupakan peserta solo," katanya kepada Gempak.

Tambah Danial, dia tetap ingin meneruskan persembahan meniru gaya orang meskipun perkara tersebut sering mendapat kritikan daripada orang ramai.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi