Hairul Azreen Tidak Kecewa Filem Pak Pong Kurang Sambutan

Hiburan
Hairul Azreen Tidak Kecewa Filem Pak Pong Kurang Sambutan
Pelakon utama filem Pak Pong, Hairul Azreen tidak terkilan apabila naskhah yang dibintanginya itu kurang mendapat sambutan.

Kata Hairul, 29, dia sudah melakukan yang terbaik dan menyerahkan urusan promosi filem berkenaan kepada pihak yang sepatutnya.

"Saya tidak berhak campur tangan dalam urusan lain selain berlakon. Dalam filem itu saya sudah memberikan hasil lakonan yang termampu dan isteri saya sendiri telah menonton filem itu dan memberikan maklum balas yang positif.

"Memang saya mempertaruhkan bakat saya untuk penonton melihat saya boleh berlakon filem aksi, tentang kurangnya sambutan saya pun tak tahu sebabnya," katanya yang ditemui selepas majlis tayangan istimewa Cerita-cerita Didi & Friends di TGV Sunway Velocity, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem bergenre aksi komedi itu telah menjalani penggambaran sejak lima tahun lalu dan mula ditayangkan sekitar akhir bulan Februari lalu. Bagaimanapun, filem itu hanya mendapat kutipan sebanyak RM35 ribu setakat ini.

Pak Pong diarahkan oleh Fauzi Nawawi dan turut dibintangi oleh Siti Saleha, Izreen Azminda, Badrolshah dan Datuk Eizlan Yusof.

Dalam perkembangan lain, Hairul kini kembali ke set lakonan dan baru selesai menjalani penggambaran filem Pencuri Hati Mr Cinderella. Pelakon itu sedang dalam proses latihan berlumba kereta untuk persiapan filem Impak Maksima Wangan.



Teks oleh: Amri Hassan

Artikel Berkaitan