Juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) Datuk Rosyam Nor akui lawak negeri Sabah yang disampaikan oleh Mad menjadi punca dia tersingkir pada minggu ketiga MLM 2017.

Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 49, berkata, jalan cerita yang dipersembahkan oleh Mad tidak cukup kreatif dan seakan-akan sama setiap minggu.

"Apa yang saya nampak kekurangan yang ada pada Mad ini adalah dia sering mengulangi jalan cerita yang sama mengenai Sabah.

"Dia kelihatan seperti tiada idea untuk berfikir di luar kotak dan menyampaikan persembahan dengan baik.

"Tidak salah jika dia mahu bercerita mengenai Sabah atau kehidupannya di dalam persembahan tetapi mengapa tidak beri sedikit kelainan?

“Mad sepatutnya lebih berani mencuba sesuatu yang baru seperti yang dilakukan oleh Danial pada malam ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak pada malam Jumaat lalu.

Sementara itu, anggota daripada kumpulan Zero, Syaiful telah dipilih menjadi Gempak Man Of The Match (GMOTM) pada minggu ketiga yang bertemakan ‘Percutian’.

Minggu keempat MLM 2017 akan menyaksikan 12 peserta mempertaruhkan nasib mereka pada malam bertemakan ‘Zaman Belajar’.

Minggu lalu, tiga kumpulan yang berada di tiga tempat terbawah ialah Mad Sabah, Danial dan kumpulan Pistol.

Berita lain mengenai MLM 2017 dan undian GMOTM layari www.astrogempak.com.my

Selain Rosyam Nor, MLM 2017 yang diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos turut menampilkan Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi