Pelakon Ummi Nazeera akui bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang dikenali sebagai Mr.I selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut Ummi, 27, dia masih belum bersedia untuk mengumumkan tarikh sebenar tetapi majlis tersebut bakal berlangsung pada bulan Jun depan.

"Seperti yang dirancang saya akan melangsungkan majlis pernikahan dengan Mr. I selepas Hari Raya nanti.

"Namun cukuplah sekadar itu dulu saya kongsikan kerana biarlah ia menjadi rahsia terlebih dahulu dan saya akan umumkan apabila tiba masanya nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod Chor & Chah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, petang Khamis.

Tambah Ummi, dia kini sedang sibuk dalam proses melakukan persiapan menjelang hari pernikahannya.

"Saya sudah ada beberapa konsep dan tema untuk perkahwinan namun belum membuat keputusan akhir mengenainya.

"Meskipun keadaan masa semakin suntuk namun dengan bantuan perancangan perkahwinan perkara itu memudahkan saya," ujarnya.

Ummi telah melangsungkan pertunangan dengan Mr. I pada 11 Disember 2016 pada sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya.