Penyanyi yang popular dengan lagu Katakan, Harris Baba, 26, telah memuat naik sekeping foto mendukung seorang bayi di laman sosial Instagramnya (@harrisbaba) sekitar pukul 3 petang tadi.

Secara tidak langsung, gambar tersebut telah mengundang spekulasi netizen bahawa artis itu kini sudah bergelar seorang bapa.

Ruangan komen foto tersebut telah dihujani ucapan tahniah daripada peminatnya termasuk ada yang meminta untuk melihat wajah anak sulung penyanyi itu.

Malah, Harris menerima ucapan tahniah daripada rakan duetnya dalam program Duo Star, Ning Baizura selain rakan artis lain antaranya Shiha Zikir.

Menerusi kemas kini laman sosial Instagramnya sejak sebulan lalu, Harris sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk menjenguk isterinya yang menetap di sana.

Mengukuhkan spekulasi pasangan itu telah menimang cahaya mata apabila Harris sekitar dua minggu lalu pernah memuat naik sekeping foto bersama kapsyen teruja menjalani fasa baharu dalam kehidupan.



Tulisnya: "A new phase in life begins for me. Ever so thankful and grateful to Allah. Alhamdulillah. Goodnight everyone."

Harris telah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita dari Sabah, Nik Naziha Zawawi, 22, pada Mei tahun lalu. Bagaimanapun, penyanyi itu lebih selesa untuk tidak mendedahkan sebarang berita mengenai kehamilan isterinya.

Tahniah kami ucapkan kepada Harris dan isteri.