Penyanyi Noh Salleh menafikan sengaja menunjuk-nunjuk kebahagiannya apaila memuat naik foto romantis bersama isterinya di laman sosial.

Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan itu berkata, apa yang dilakukan adalah salah satu cara dia menghargai isterinya.


"Terus-terang kemesraan yang saya tunjuk di Instagram itu adalah untuk isteri saya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau tujuan lain

"Lagi pun ia merupakan perkara yang positif untuk hubungan kami, saya tidak sangka pula ramai yang menjadikan perkara ini sebagai inspirasi dalam hubungan rumahtangga mereka," katanya kepada Astro Gempak

Noh ditemui bersama isterinya Mizz Nina di majlis pelancaran Asian Islamic Fashion Week di sini, semalam.

Penyanyi itu diminta mengulas mengenai kebanyakan entrinya di Instagram (IG) yang menunjukkan kemesraan antara dirinya dengan Nina sehingga menjadi perhatian netizen.

Pada masa sama, Noh berasakan menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi perkara berfaedah di laman sosial bagi memberi input positif dalam diri masyarakat yang membaca entri beliau.

Sementara itu, Mizz Nina pula memberitahu meskipun suaminya sering berkongsi mengenai rumahtangga mereka namun mereka tetap mempunyai batasan tertentu untuk berkongsi tentang hal rumah tangga kepada umum.

"Saya suka dan terharu dengan apa yang dilakukan Noh itu.

"Namun saya tak nafikan, kami tetap mempunyai batasan tertentu dalam berkongsi gambar di laman sosial," katanya lagi.

Pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada 1 Julai 2011.

Teks oleh Syafiqah Jalal