Penyanyi, Datuk Awie mengesahkan gitaris mereka Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir tidak lagi bersama Wings.

Vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mencapai kata sepakat.

"Kami ada bertemu dengan Joe dan persetujuan dilakukan selepas perbincangan tersebut.

"Walaupun Joe tidak bersama Wings, perjalanan kami tetap sama. Lagipun keluar masuk ahli dalam kumpulan ini perkara biasa.

"Dahulu saya dan Black juga pernah keluar dari Wings, tetapi Wings tetap kekal dan tidak pernah berpecah, jadi tidak ada bezanya situasi sekarang dengan yang dahulu," katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama di Istana Budaya.

Tambah Awie lagi, walaupun Wings kini bertiga mereka tidak bercadang untuk mencari pengganti Joe.

"Kami tidak akan mengambil gitaris baru sebaliknya akan menggunakan khidmat sessionist dalam setiap persembahan.

"Lagipun Joe hanya pemuzik dan di luar sana ramai lagi yang bagus," ujarnya.

Awie bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca Joe tidak lagi bersama Wings.

"No komen," jawabnya ringkas.

Terdahulu, peminat mula memperkatakan tentang perpecahan Wings selepas Joe tidak bersama kumpulan rock itu pada malam konsert ambang tahun baru di Melaka, tahun lalu.

Khabar angin mengenai Joe dan Wings bermasam muka lebih hangat diperkatakan selepas pemain gitar utama itu mula mempromosikan tentang showcasenya bersama kumpulan baharunya, Prime Domestic.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Awie berkata dia tidak tahu mengenai Joe dan kumpulan baharunya itu.

"Saya tidak tahu dia sudah ada kumpulan baharu cuma yang dengar dia akan mengadakan showcase," katanya.