Kumpulan Joras dianggotai Shuk, Joey dan Rahim mengakui kesibukan masing-masing tidak menjadi halangan kepada mereka untuk menghasilkan bahan lawak terbaik di pentas Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017).

Shuk mewakili Kumpulan Joras berkata, mereka akan cuba bertemu dua kali seminggu untuk berkongsi idea dan berbincang tentang jalan cerita yang bakal dipersembahkan.

“Komitmen masing-masing tidak membataskan kami untuk mencari idea atau tidak boleh bersua muka.

“Untuk persembahan minggu pertama ini, kami puas hati kerana apa yang cuba disampaikan sampai kepada penonton, walaupun kami berjumpa dua hari sebelum MLM 2017 bermula,” katanya kepada Astro Gempak.



Ketika ditanya tentang dakwaan Rahim yang selalu bersama Sepahtu berbanding Joras, Shuk berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kepada mereka.

“Kami faham komitmen Rahim dengan Sepahtu Sinar di radio dan Meja Bulat Sepahtu. Sebab itu orang sentiasa nampak mereka bersama.

“Lebih-lebih lagi ketika MLM 2017 bermula, Meja Bulat Sepahtu memang sedang bersiaran. Tiada masalah pun, kerana kami faham komitmen masing-masing,” ujaranya.

Sementara itu menurut Rahim, walaupun kesemua anggota Joras sibuk dengan jadual kerja yang padat, setiap hari mereka akan tetap berbincang tentang idea.

“Kami ada group Whatsapp dan di situlah tempat kami berkongsi idea, bincang apa prop nak guna dan bila berjumpa, senang sebab jalan cerita semua sudah ada.

“Tentang kesibukan saya bersama Sepahtu, Shuk dan Joey tidak pernah membangkitkan hal tersebut kerana kami semua di platform yang sama, dah macam adik-beradik...pusing-pusing kat tempat yang sama juga,” katanya.

Minggu kedua bertemakan Tabiat bakal menyaksikan Joras bersaing bersama 14 kumpulan lain merebut tempat ke pentas akhir MLM 2017.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari www.astrogempak.com.my/Maharaja-Lawak-Mega atau klik link untuk mengundi Gempak Man Of The Match.