Pelakon Eizlan Yusof akui anaknya, Zareef Yusof tidak mahu lagi wajahnya dirakamkan dan dimuat naik ke laman sosial.

Eizlan Yusof, 46, berkata selepas videonya bersama nak itu menjadi viral, anak keduanya yang berusia tujuh tahun itu sudah mula malu dan segan apabila sering disapa peminat ketika berada di luar.

"Sebenarnya tujuan asal saya merakamkan video anak-anak dan memuat naik ke Instagram (IG) adalah hanya untuk simpanan saya mengubat rindu, supaya bila kami berjauhan di mana-mana sahaja saya boleh buka dan tonton.

"Saya sendiri tak sangka video saya bersama anak-anak itu menjadi viral dan kegemaran ramai orang diluar sana untuk menonton.

"Tapi kini saya tidak dapat berbuat begitu lagi, kerana anak saya Zareef sudah mula malu dan segan apabila ramai yang menyapanya setiap kali kami keluar bersiar.

"Dia tu memang segan sedikit dan tidak suka bila dia sudah jadi perhatian ramai.

"Baru-baru ini, bila makcik saudaranya mahu merakamkan videonya dia mengelak kerana tidak mahu videonya dimuat naik ke laman sosial.

"Saya tidak memaksanya lagi kerana dia masih kecil dan mungkin selepas ini saya tidak dapat berbuat begitu lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Terdahulu, Eizlan sering memuat naik video berceloteh bersama anak-anaknya dengan gelagat yang comel dan mencuit hati.

Hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Vie Shantie, Eizlan dikurniakan tiga orang anak iaitu Vie Zaara, 9, Zareef Yusof, 7, dan Vie Zaalia, 4.

Bercerita mengenai hubungannya dengan anak-anak, Eizlan memberitahu dia sangat rapat dengan mereka meskipun sudah berpisah dengan Vie Shantie sejak dua tahun lalu.

"Meskipun anak-anak saya di bawah jagaan penuh bekas isteri saya, tetapi saya dengan anak-anak memang sangat rapat dan tiada masalah untuk berjumpa.

"Kami kerap berjumpa kerana saya akan mengambil mereka bila-bila masa sahaja yang saya suka untuk luang masa bersama mereka.

"Saya rasa mereka sudah mula faham dengan apa yang berlaku antara saya dan bekas isteri, namun ia seolah-olah tidak menjadi masalah kepada mereka," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, selepas membintangi Lara Aishah di Astro Ria, Eizlan bakal menjalani penggambaran untuk drama bersiri dalam slot yang sama tidak lama lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal