Penyanyi Shiha Zikir akui tidak akan mengadakan sebarang majlis pertunangan tetapi akan terus berkahwin.

Shiha Zikir, 30, berkata setelah lapan tahun bercinta, dia sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada buah hatinya yang dikenali sebagai Arul itu.

"Terus-terang saya memang sudah bersedia untuk berumahtangga pada tahun ini, cuma tiada perancangan yang teliti dilakukan lagi.

"Kami pun sudah lapan tahun bercinta dan saling kenal, rasanya sudah tiba masanya untuk kami teruskan dengan ikatan yang sah.

"Pun begitu, tiada majlis pertunangan yang akan diadakan. Lagipun ibu saya sendiri minta saya terus berkahwin tanpa ikatan pertunangan," katanya kepada Astro Gempak.

Shiha ditemui di pelancaran muzik video MTV untuk single Novel Cinta yang diadakan di Neway, 1 Utama Damansara, semalam.

Bercerita lanjut mengenai Arul, Shiha memberitahu kekasihnya punya ciri-ciri lelaki yang menyenangkan tanpa mengganggu kerjayanya sebagai penyanyi.

"Dia (Arul) sangat memahami diri dan kerjaya saya, itu yang penting. Apa sahaja saya buat dia sentiasa memberi sokongan.

"Dia tidak pernah menghalang saya untuk membina kerjaya sebagai penyanyi malah sentiasa mempercayai saya tanpa ada rasa cemburu.

"Selain itu, saya terpikat dengannya kerana sikap tanggungjawabnya," katanya lagi.

Perkembangan lain, Shiha kini sibuk mempromosikan single bersama kumpulan DeMeises berjudul Jangan Bilang Siapa-Siapa, selain sedang merancang untuk menerbitkan sebuah lagu berentak Pop Dangdut.

Teks oleh Syafiqah Jalal