Pelakon dan pengarah, Fauzi Nawawi akui sengaja mengambil pelakon-pelakon drama untuk membintangi filem arahan terbarunya berjudul Pak Pong.

Fauzi Nawawi, 45, berkata pelakon drama terutama yang sudah lama dalam industri mempunyai bakat lakonan lebih berkualiti.

“Jika dilihat, walaupun mereka hanya pegang watak kecil tetapi ia memberi impak kepada jalan cerita Pak Pong.

"Memang kebanyakan mereka adalah pelakon yang sering kita lihat beraksi dalam drama kerana saya mahu penonton dapat memberi peluang dan ruang kepada mereka yang sudah lama berlakon.

"Saya mahukan kualiti lakonan mereka dan bukannya populariti di dalam filem saya. Tidak semestinya mereka kurang jumlah pengikut dan peminat tidak bermakna mereka tidak bagus," katanya kepada Astro Gempak.

Pak Pong membariskan 24 pelakon yang terdiri daripada Hairul Izreen, Yasmin Hamid, Saiful Apek, Siti Saleha, Datuk Eizlan Yusof, Kazar, Marsha Milan Londoh dan ramai lagi.

Mengulas mengenai tugasnya sebagai pengarah dan dalam masa yang sama berlakon dalam filem tersebut, Fauzi memberitahu ia berjalan lancar.

“Ada dalam kalangan mereka pelakon yang lebih senior daripada saya. Namun begitu, apabila saya berada di kerusi pengarah, saya tidak malu untuk menegur mereka.

"Saya jelaskan lakonan yang saya mahu dan mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran berlangsung,” katanya lagi.

Filem bergenre aksi itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 23 Februari ini.

Teks oleh Syafiqah Jalal