Penyanyi Datuk Hattan mendedahkan yang kebanyakan peserta yang menghadiri ujibakat program realiti terbaru Rockanova datang tanpa persediaan rapi.

Bakal bertindak selaku guru vokal dan persembahan yang akan memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta Rockanova, Hattan mahu mencari seorang peserta yang mempunyai pakej lengkap.

“Sayang sekali ramai yang hadir ke ujibakat tanpa persediaan. Ada yang mengaku minat muzik rock tapi tidak tahu sejarah muzik ini.

“Bukannya saya mahu mereka mengkaji sejarah muzik rock secara terperinci, cukuplah mereka tahu serba sedikit mengenai apakah itu rock, lagu-lagu rock popular dalam dan luar negara zaman dahulu sehingga kini.

“Namun begitu, ada juga peserta yang datang sudah benar-benar bersedia mahu menjejakkan kaki ke pentas Rockanova. Mereka datang dengan persediaan yang secukupnya dan aura rock dalam diri mereka juga terserlah,” kata Hattan kepada Astro Gempak.

Ditemui di sesi ujibakat Rockanova yang diadakan pada Sabtu lalu, Hattan mahu melahirkan bintang rock sebenar.

Hattan juga berharap program Rockanova bakal meninggalkan impak baru dalam dunia nyanyian.

“Peserta yang dicari adalah mereka yang mempunyai pakej yang lengkap. Mereka bukan sahaja harus pandai menyanyikan lagu-lagu rock, mereka juga harus mempunyai pakej yang boleh diasah lagi untuk dibentuk sebagai seorang pelapis muzik rock,” katanya lagi.

Program realiti terbaru Rockanova juga turut menampilkan Edry Abdul Halim dan Datuk Awie selaku juri. Program ini bakal bersiaran di Astro Prima.

Teks oleh: Kamaruddin Razal